Sabtu, 31 Ogos 2019 | 10:40pm

Warga Myanmar bunuh rakan senegara ditahan

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki Myanmar yang disyaki membunuh rakan serumahnya ketika bergaduh di sebuah asrama pekerja di Dataran Otomobil, Seksyen 15, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Zaw Thin, 36, ditahan pada jam 4 petang tadi sekitar lokasi kejadian.

Katanya, ketika ditahan, polis turut menemui pisau yang dipercayai digunakan ketika pergaduhan itu.

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua mereka berada bawah pengaruh alkohol dan berlaku pertengkaran.

“Suspek kemudian menikam rakannya yang berusia 27 tahun itu di bahagian perut hingga terburai sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Baharudin berkata, suspek berjaya dikesan selepas mendapat kerjasama rakan mereka yang melihat pergaduhan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X