Ahad, 1 September 2019 | 6:26pm
Keadaan basikal ditunggang Arif Fahmi Cassidy dilanggar sebuah kereta di Kilometer 3 Jalan Datuk Muhd Musa, Kota Samarahan. - NSTP/Ihsan PDRM
Keadaan basikal ditunggang Arif Fahmi Cassidy dilanggar sebuah kereta di Kilometer 3 Jalan Datuk Muhd Musa, Kota Samarahan. - NSTP/Ihsan PDRM

Hasrat sertai qiamullail tidak kesampaian

KOTA SAMARAHAN: Kanak-kanak lelaki yang maut selepas basikal ditunggang dilanggar kereta di Kilometer 3 Jalan Datuk Muhd Musa, di sini, malam tadi, berhasrat menyertai program qiamullail di kampungnya pada hari itu.

Seorang peserta program mingguan itu, Mohd Khairi Kassim, 27, berkata kejadian berlaku ketika mangsa, Arif Fahmi Cassidy, 10, dari Kampung Sindang, di sini, dalam perjalanan pulang ke rumah bersama kakaknya berusia 12 tahun dan sepupu selepas menjalani latihan silat.

“Mereka sebenarnya akan mengikuti program qiamullail anjuran pemuda kampung, malam itu, namun tidak disangka kejadian berkenaan akan menimpa arwah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menceritakan lanjut, Mohd Khairi berkata, ketika kejadian, beliau bersama anak muda di kampung itu sedang membuat persiapan sebelum kedatangan peserta lain.

“Ketika berada di dalam Masjid Darul Ikhlas, Kampung Sindang, kami terdengar bunyi rempuhan sebelum bergegas keluar untuk memeriksa.

“Saya terkejut apabila melihat seorang kanak-kanak yang berlumuran darah sedang dipangku kakaknya sambil menangis teresak-esak.

“Saya kemudian terus mengangkat mangsa untuk diberikan bantuan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, jenazah Arif Fahmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sindang sebelum zuhur tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 malam tadi, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat parah di kepala.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X