Selasa, 3 September 2019 | 1:14pm
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Kes video lucah: Lokman Adam beri keterangan di Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hari ini memberi keterangan berhubung siasatan klip video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau yang tiba pada jam 11.15 pagi, memberi keterangan kepada pegawai di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) sebelum meninggalkan Bukit Aman, 20 minit kemudian.

Lokman yang ditemui pemberita, memaklumkan beliau turut menyerahkan dua dokumen kepada polis iaitu ringkasan analisis forensik dan laporan penuh analisis forensik video lucah berkenaan oleh Verden Forensics yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

“Saya telah pun memberikan keterangan kepada pihak polis dan menyerahkan dokumen asal, iaitu pertama summary (ringkasan) laporan forensik daripada Verden Forensics UK dan kedua, laporan penuh.

“Dua laporan ini akan digunakan polis untuk melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada pihak Peguam Negara (AG),” katanya.

Beliau turut memaklumkan kemungkinan dipanggil semula bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan polis sudah mengambil keterangan Lokman.

“Polis akan ambil keterangan beliau lagi untuk melengkapkan kertas siasatan yang kemudiannya akan diserahkan kepada Pejabat AG untuk tindakan lanjut,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, mengesahkan menerima laporan analisis oleh syarikat Verden Forensics itu yang dikemukakan Lokman.

Huzir berkata, laporan analisis berkenaan sudah dihantar ke CyberSecurity Malaysia untuk diteliti.

“Lokman akan dipanggil esok (hari ini) untuk memberi keterangan manakala kertas siasatan kes sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kita menerima beberapa arahan lanjut berhubung kes itu manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 377B dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998,” katanya.

Huzir berkata, pihaknya turut membuka siasatan terhadap beberapa kes mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan AKMM 1998 sejak 11 Jun lalu.

Menurut laman web Verden Forensics, syarikat berpangkalan di Birmingham, United Kingdom itu menjalankan analisis forensik dalam bidang multimedia dan peranti mudah alih bagi kes jenayah, sivil serta sektor swasta.

Berita Harian X