X
Rabu, 4 September 2019 | 8:23pm

Ini 'show' terakhir

KOTA KINABALU: “Ini ‘show’ terakhir.” Mesej itu dihantar Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya AR Badul, menerusi aplikasi WhatsApp kepada ibunya, Rusunjan Mohamad, 57.

Mohd Zahir, 36, maut tertembak ketika melakukan demonstrasi tembak sempena majlis Perbarisan Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, di Kem Lok Kawi, pagi tadi.

Ketika ditemui media di perkarangan Hospital Queen Elizabeth (QEH), di sini, Rusunjan yang berasal dari Kampung Indai, Tuaran, dekat sini, berkata beliau sentiasa berhubung melalui telefon dengan anaknya yang disifatkannya sebagai ‘nakal’.

“Anak saya memang selalu menyertai demonstrasi seperti ini dan Allahyarham baharu saja balik dari Indonesia. Saya selalu menasihatkannya supaya sentiasa hati-hati.

“Sebelum ini (semalam) dia (Allahyarham) juga ada hantar WhatsApp sambil memaklumkan ini (demonstrasi) adalah ‘show’ terakhirnya,” katanya sambil menambah Allahyarham adalah anak sulung daripada tiga beradik.

Rusunjan berkata, sepatutnya pada malam ini juga mereka sekeluarga termasuk Allahyarham makan malam bersama di Tuaran.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah (tengah) bersama pegawai tertinggi angkatan tentera, hadir di perkarangan Hospital Queen Elizabeth, susulan kejadian di kem Lok Kawi pagi tadi, di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah (tengah) bersama pegawai tertinggi angkatan tentera, hadir di perkarangan Hospital Queen Elizabeth, susulan kejadian di kem Lok Kawi pagi tadi, di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

“Kira-kira jam 7.30 pagi tadi, dia menghubungi saya menerusi telefon dan menyatakan mahu balik ke rumah (Tuaran). Saya pun ke pasar selepas itu untuk membeli barang-barang yang perlu dimasak pada malam ini.

“Bagaimanapun, ketika di pasar (Tuaran) saya menerima panggilan (dari pejabatnya) dan memaklumkan berita sedih ini.

“Sebagai ibu, saya reda dengan apa yang berlaku. Saya sebenarnya jika boleh mahu anak dikebumikan di sini tetapi kami reda dengan keputusan isterinya,” katanya.

Beliau berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya di Kuala Lumpur, bulan lalu.

“Kali terakhir dia balik ke Sabah kira-kira tujuh tahun lalu,” katanya yang kelihatan sayu dan tenang.

Sementara itu, bapa saudaranya, Mirdat Mohamad, 54, berharap pemergian anak saudaranya itu mendapat keadilan dan siasatan yang sebaiknya.

“Saya berharap semoga kesilapan ini tidak berulang dan kami (keluarga) mahu tahu punca sebenarnya,” katanya.

Rusunjan Mohamad, 57, ibu kepada Allahyarham Mohd Zahir Armaya ketika menuntut jenazah anaknya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. - Foto BERNAMA
Rusunjan Mohamad, 57, ibu kepada Allahyarham Mohd Zahir Armaya ketika menuntut jenazah anaknya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. - Foto BERNAMA
Berita Harian X