Sabtu, 7 September 2019 | 1:33pm
Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid. - NSTP/L Manimaran

Harta berkaitan aktiviti dadah RM3.95 juta dirampas

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis harta bernilai RM3.95 juta disyaki diperolehi daripada aktiviti pengedaran dadah sejak Januari sehingga Ogos tahun ini.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata, harta disita mengikut peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha dan komitmen yang tinggi anggota JSJN kontinjen Sarawak.

“Malah, kerjasama masyarakat khususnya di negeri ini membantu kami untuk membanteras kegiatan membabitkan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasnir berkata, JSJN Sarawak sentiasa berusaha membanteras sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di Sarawak.

“Dalam tempoh sama, seramai 910 individu ditahan di Sarawak membabitkan pelbagai kesalahan dalam aktiviti dadah.

“Seramai 41 orang ditangkap di bawah kategori bekalan, 217 orang ditangkap di bawah kategori memiliki, 598 orang ditangkap mengikut kategori air kencing positif manakala, 54 orang pengedar ditangkap mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah Langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya.

240 dibaca
Berita Harian X