Sabtu, 7 September 2019 | 8:21pm
SALLEH Md Zain (kiri) bersama anaknya Muhammad Syafiq melihat kemusnahan bumbung rumahnya yang dipukul ribut pada jam 3 petang ini di Kampung Sungai Rengas. - Foto Imran Makhzan
SALLEH Md Zain (kiri) bersama anaknya Muhammad Syafiq melihat kemusnahan bumbung rumahnya yang dipukul ribut pada jam 3 petang ini di Kampung Sungai Rengas. - Foto Imran Makhzan

Bumbung rumah terbang dibadai ribut

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 72 kediaman termasuk premis perniagaan rosak dibadai ribut di empat kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam di sini, hari ini.

ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejadian membabitkan Kampung Padang Jirat, Kampung Sungai Sena, Kampung Sungai Rengas dan Kampung Pulau Musang, kira-kira jam 3 petang.

“Kejadian ribut kuat serta hujan lebat itu menyebabkan bumbung rumah dan premis perniagaan penduduk kawasan terbabit rosak termasuk ada yang runtuh.

“Selain itu, ribut turut menyebabkan pokok tumbang, khemah dan barang-barang diterbangkan.

“Setakat ini, saya dimaklumkan sebanyak 72 kediaman musnah termasuk premis perniagaan di empat kampung berkenaan,” katanya ketika melawat kediaman penduduk yang rosak di Kampung Pulau Musang di sini.

Menurutnya, pihaknya akan berusaha membantu meringankan beban pemilik kediaman yang terjejas.

“Bantuan akan disalurkan menerusi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri.

“Nilai kerugian dialami setiap pemilik kediaman dianggarkan antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Salleh Md Zain, 78, ketika ditemui berkata, hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung rumah satu tingkat miliknya rosak teruk dan dimasuki hujan.

Katanya, ketika kejadian dia bersama isteri dan anak sedang bersiap untuk makan di dapur di aras bawah kediaman terbabit.

“Waktu itu hujan lebat, kami sekeluarga sedang makan di dapur di bawah dan secara tiba-tiba kedengaran bunyi bising di tingkat atas dan rumah kami kemudian dimasuki hujan.

“Apabila cuba naik ke tingkat atas, saya dapati sebahagian bumbung sudah tiada kerana diterbangkan angin.

“Waktu itu nampak menerusi tingkap ribut masih kuat seperti puting beliung hingga barangan berterbangan secara berpusing-pusing.

“Kami sekeluarga tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan barangan daripada dibasahi hujan kerana kejadian berlaku terlalu pantas hingga hampir keseluruhan kediaman dimasuki air.

“Namun, kami bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat,” katanya.

Kejadian turut menyebabkan kedai makan milik Syed Sofi Tengku Mat, 36, mengalami kerosakan dan barang-barang seperti meja serta khemah diterbangkan angin.

Syed Sofi berkata ketika kejadian, dia bersama isteri sedang bersiap untuk memulakan perniagaan.

“Kejadian menyebabkan meja terbang di atas jalan raya.

“Malah, khemah besar bersaiz 20x20 kaki yang terletak di bahagian tepi kedai turut diterbangkan melintasi bumbung premis sebelum tersangkut pada tiang elektrik,” katanya.

Berita Harian X