Isnin, 9 September 2019 | 1:55pm
Sekurang-kurangnya 24 kediaman di empat kampung di Raub, rosak teruk dibadai ribut, petang semalam. - Ihsan APM
Sekurang-kurangnya 24 kediaman di empat kampung di Raub, rosak teruk dibadai ribut, petang semalam. - Ihsan APM

Empat kampung dibadai ribut

RAUB: Sekurang-kurangnya 24 kediaman di empat kampung di sini, rosak teruk dibadai ribut, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu menyebabkan bumbung beberapa rumah penduduk di Kampung Tersang, Kampung Jenud, Kampung Ulu Atok dan Kampung Sega, diterbangkan ribut.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Zainal Yusoff, berkata kejadian turut menyebabkan ada rumah penduduk yang roboh.

Katanya, kejadian turut menyebabkan beberapa batang pokok tumbang manakala barangan milik penduduk musnah.

“Rumah penduduk di Kampung Ulu Atok mengalami kerosakan paling teruk apabila banyak bumbung diterbangkan angin kencang.

“Anggota APM giat melakukan kerja pembersihan bagi mengalihkan pokok tumbang yang menghempap rumah.

“Kita turut menyediakan kit makanan kepada mangsa dan akan berusaha membantu meringankan beban mereka yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, nilai kerugian ditanggung mangsa masih dalam siasatan dan belum ada pusat pemindahan dibuka setakat ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Hassan Alang Idris, 63, berkata dentuman kuat diikuti angin kencang membuatkan beliau dan isteri, Ropiah Bujang, 60, yang sedang minum petang di dapur, berlari ke ruang tamu.

Pasangan itu adalah antara 24 pemilik rumah yang terjejas akibat ribut berkenaan.

“Selepas terdengar dentuman, saya menjenguk ke dapur dan melihat bahagian dapur ranap dihempap dahan pokok, menyebabkan siling dan atap runtuh.

"Saya jenguk ke luar dan mendapati angin kencang dan seolah-olah berpusing. Masa tu memang takut dan saya terus melaungkan azan sekuat hati dan berdoa ribut segera berhenti," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Hassan yang menetap di Kampung Sega Tat berkata, ketika itu hujan lebat dan diikuti dengan ribut kencang.

Nazamuddin Noor, 46, berada di kebun kira-kira tiga kilometer dari rumahnya untuk memberi makan lembu ternakannya.

“Saya bimbang dengan keadaan itu dan ingin pulang ke rumah, tetapi tidak dapat kerana banyak pokok tumbang di tengah jalan.

"Apabila sampai di rumah, saya dapati garaj kereta runtuh dan menghempap dua kereta.

“Isteri ada di rumah ketika kejadian dan angin kuat menyebabkan lima keping atap genting rumah tercabut," katanya yang menetap di Kampung Kuala Atok.

Berita Harian X