Selasa, 10 September 2019 | 12:40am
MEJAR Mohd Zahir Armaya.
MEJAR Mohd Zahir Armaya.

Siasatan jurus faktor kecuaian - Polis Sabah

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap insiden Mejar Mohd Zahir Armaya maut terkena tembakan dalam aksi demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah, Rabu lalu, menjurus kepada faktor kecuaian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan beberapa individu dipanggil untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, siasatan mendapati ia menjurus kepada kecuaian tetapi siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, setakat ini, 11 individu termasuk anggota tentera yang terbabit dalam insiden berkenaan, sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada Rabu lalu selepas dipercayai terkena tembakan ketika melakukan aksi demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi. – BERNAMA

Berita Harian X