Rabu, 11 September 2019 | 3:42pm
KUALA LUMPUR 15 NOVEMBER 2018. Gambar fail, bekas Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hadir bagi pendakwaan berhubung penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seluas 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tahun lalu. - Foto Aizuddin Saad

LHDN mahu saman terhadap Tengku Adnan diputuskan tanpa bicara

KUALA LUMPUR: Permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya saman yang dikemukakan terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, diputuskan tanpa melalui perbicaraan, didengar 12 Disember ini.

Saman difailkan LHDN itu adalah bagi menuntut Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO, membayar tunggakan cukai pendapatan melalui Cukai Taksiran Tambahan daripada tahun 2012 sehingga 2017 yang kesemuanya berjumlah lebih RM57 juta.

Timbalan Pendaftar, Idamasliza Maarof Hakim yang menetapkan tarikh itu dalam kamar, turut menetapkan 15 November depan untuk mendengar permohonan Tengku Adnan menangguhkan prosiding kes saman berkenaan.

Melalui saman difailkan 24 Julai lalu, LHDN mendakwa Tengku Adnan masih berhutang cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 hingga tahun taksiran 2017 seperti dinyatakan melalui Notis Taksiran yang dihantar pada 15 Mac 2019 dan diterima Tengku Adnan (defendan) pada 22 Mac lalu.

LHDN mendakwa, Tengku Adnan gagal mematuhi notis berkenaan dan membayar jumlah yang dituntut dalam masa 30 hari daripada notis itu dikeluarkan.

Menurut LHDN selaku plaintif, cukai pendapatan yang masih terhutang oleh Tengku Adnan sejak 2012 hingga 2017 termasuk faedah ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016) dan RM26,880,844.97 (2017).

Tengku Adnan kini berdepan dua tuduhan rasuah berasingan di Mahkamah Tinggi, iaitu masing-masing menerima wang RM3 juta dan RM1 juta berhubung penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

2000 dibaca
Berita Harian X