Rabu, 11 September 2019 | 10:36pm

Mayat wanita dibungkus selimut tebal ditemui

PETALING JAYA: Seorang janda anak satu ditemui mati dalam keadaan mayatnya dibungkus dengan selimut tebal di Pangsapuri Rampai Idaman, Prima Damansara, di sini, petang tadi.

Kejadian yang menimpa Nor Hidayah Ahmad, 30, hanya disedari kira-kira pada jam 5.30 petang oleh bapanya yang mengunjungi rumah pangsa didiami wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata bapa mangsa mula mengesyaki sesuatu apabila terhidu bau busuk sebaik memasuki rumah sewa anaknya itu sebelum melaporkan kejadian kepada polis.

Katanya, mangsa yang bekerja kilang tinggal di rumah terbabit bersama anak lelakinya berusia enam tahun namun ketika kejadian kanak-kanak itu berada di pusat asuhan.

“Kita percaya mangsa meninggal dunia dalam tempoh 24 jam. Mayatnya dibungkus menggunakan selimut tebal dan timbunan bantal serta tilam.

“Justeru, polis sedang menjejaki bekas suami mangsa yang berasal dari Johol, Negeri Sembilan untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa sudah bercerai sejak dua hingga tiga bulan lalu.

Mohd Zani berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematiannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

9892 dibaca
ANGGOTA polis membawa keluar mayat Nor Hidayah yang dipercayai mati dibunuh di rumah sewanya, Pangsapuri Rampai Idaman, Prima Damansara. - Foto Aswadi Alias.
Berita Harian X