Khamis, 12 September 2019 | 12:50am
CHE SOM dan Yusof Mat membawa jenazah cucu perempuan mereka, Median Sandra Mohd Saddle, tiga bulan ke Bilik Forensik Hospital Kemaman. NSTP/Rosli Ilham

Tiada tanda kemurungan

CHUKAI: “Sebelum ini tiada apa yang pelik dilihat terjadi pada anak saudara termasuk meroyan, tapi saya ada dengar dia ada bercakap sesuatu yang tidak masuk akal.

“Sehingga saat ini saya tak pasti apa yang dia (ibu mangsa) lakukan terhadap bayinya sehingga meninggal dunia,” kata seorang ahli keluarga bayi perempuan berusia tiga bulan, Median Sandra Mohd Saddle, yang mati dipercayai didera ibu kandungnya berusia 27 tahun di rumah mereka di Bandar Baru Cheneh, di sini, semalam.

Ahli keluarga terdekat mangsa yang enggan namanya didedahkan itu berkata, dia mendapat maklumat kejadian selepas menerima panggilan daripada adiknya yang memaklumkan Median Sandra berada di Klinik Kesihatan Cheneh dalam keadaan tenat, kira-kira jam 10.30 pagi.

Katanya, susulan itu dia segera bergegas ke klinik berkenaan tetapi tidak dibenarkan masuk ke bilik kecemasan untuk melihat keadaan bayi berkenaan.

“Saya tak sangka perkara berkenaan boleh berlaku kepada kepada Madian Sandra.

“Selepas melahirkan bayi sulung itu, ibu mangsa pulang berpantang di rumah ibunya di Besut dan dalam tempoh dua hari berpantang, suaminya berusia 27 tahun membawa pulang anaknya itu untuk dijaga di Cheneh.

“Saya beberapa kali melawat ibu dan bayi itu ketika dalam pantang tetapi tidak nampak apa yang pelik termasuk meroyan,” katanya.

Menurutnya, Madian Sandra sering kali dibawa pulang ke Besut untuk bertemu dengan ibunya sepanjang dua bulan lebih berada bawah jagaan bapanya.

“Ketika bekerja, bapanya akan menghantar Madian Sandra ke rumah pengasuh untuk dijaga, namun, sejak dua minggu lalu ibu bayi berkenaan membawa pulang ke rumah mereka di Cheneh.

“Saya difahamkan semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam), ibu Madian Sandra tidak mahu anaknya itu dihantar ke rumah pengasuh dan saya tidak sangka perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ibu kepada bayi terbabit mengalami kemurungan.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan setakat ini kita sudah memanggil tiga individu bagi membantu siasatan.

“Kita turut menahan ibu bayi terbabit untuk siasatan lanjut dan perintah reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Kemaman, esok (hari ini).

“Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X