Sabtu, 14 September 2019 | 11:14am
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof. - Foto Rosela Ismail

Kanak-kanak disyaki didera pengasuh

SEMENYIH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan cedera dengan kesan lebam di bahagian belakang badan serta kaki disyaki didera pengasuh sebuah pusat jagaan kanak-kanak, di Taman Pelangi, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata ibu mangsa tampil membuat laporan berhubung kejadian menimpa anaknya itu pada hari yang sama jam 9.55 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Katanya, ibu mangsa menyedari kecederaan anaknya itu selepas mengambilnya di sebuah Taska di Taman Pelangi.

“Kita terima laporan daripada ibu mangsa seorang peniaga berusia 34 tahun, dia mendakwa terdapat kesan lebam seperti dicubit pada belakang badan serta kaki kiri dan kanan.

“Pengadu menyedari kecederaan anaknya apabila pengadu mengambil anaknya di sebuah Taska yang beroperasi di Taman Pelangi, Semenyih pada jam 4.30 petang.

“Pengadu mendapati terdapat kesan luka pada bahagian leher dan pihak Taska menyatakan tiada apa-apa berlaku ke atas anak pengadu, pengadu tidak berpuas hati dan membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, kanak-kanak terbabit mendapat rawatan di Hospital Kajang bagi tujuan pemeriksaan dan pemantauan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Sehubungan itu polis mengklasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Kanun Keseksaan.

“Polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini, berhubung dengan Balai Polis terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat di nombor 011-2617 7140,” katanya.

Berita Harian X