Sabtu, 14 September 2019 | 1:59pm
Pensyarah UiTM Seremban 3, Badrul Azmier [email protected] ditemui mati dalam rumah sewanya di kawasan perumahan Jalan Suriaman 3, Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Pensyarah UiTM ditemui mati di rumah

SEREMBAN: Seorang pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban 3, ditemui mati dalam rumah sewanya di kawasan perumahan Suriaman 3, Bandar Sri Sendayan, dekat sini, petang semalam.

Mayat pensyarah Sains Politik, Badrul Azmier [email protected], 43, itu ditemui kira-kira jam 6.30 petang, selepas seorang jiran menghidu bau busuk dari rumah lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata pensyarah yang belum berkahwin itu dipercayai sudah meninggal dunia dua sehingga tiga hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang mereput.

“Jirannya seorang lelaki yang menghidu bau busuk bertindak menghubungi pihak polis sebelum sepasukan polis tiba di lokasi kejadian, namun mendapati rumah itu berkunci dari dalam.

“Polis kemudian meminta pengawal keselamatan untuk menghubungi waris pensyarah berkenaan sebelum kakaknya yang berusia 40-an tiba dan membuka pintu rumah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Said berkata, polis menemui mayat pensyarah berkenaan terbaring di atas katil dalam bilik utama dalam keadaan hanya memakai seluar.

Beliau berkata, mayat berkenaan kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan polis di lokasi penemuan mayat dan hasil bedah siasat di HTJ mendapati tiada unsur jenayah berhubung kematian pensyarah itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Siasatan mendapati pensyarah itu tinggal berseorangan di rumah sewa berkenaan.

“Mayatnya dituntut oleh ahli keluarganya hari ini untuk dikebumikan di Melaka,” katanya.

Berita Harian X