Isnin, 16 September 2019 | 8:50pm
SEORANG lelaki maut ketika dikejar anggota polis akibat merakam gambar bawah skirt seorang wanita di Jalan Telawi, Bangsar disini, semalam. NSTP/Emel

Maut ketika larikan diri daripada polis

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut ketika cuba melarikan diri daripada polis selepas didakwa merakam gambar dari bawah skirt seorang wanita di Jalan Telawi, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam, lelaki berusia 53 tahun itu didakwa mengambil gambar dari bawah skirt seorang wanita berumur 24 tahun di sebuah restoran sebelum tindakan itu disedari mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata wanita itu kemudian melaporkan kejadian di Balai Polis Bangsar yang terletak berdekatan restoran terbabit.

“Mangsa menunjukkan lelaki itu kepada polis sebelum anggota cuba melakukan pemeriksaan dan meminta lelaki terbabit ke balai polis.

“Bagaimanapun, lelaki itu tiba-tiba melarikan diri ke arah lorong belakang restoran berkenaan sebelum dikejar polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arifai berkata, ketika usaha menangkap dilakukan, lelaki terbabit dikatakan bertindak agresif sehingga terjatuh dan tidak sedarkan diri.

“Anggota kemudian menghubungi pihak hospital sebelum lelaki itu disahkan meninggal dunia.

“Mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat lengkap diperoleh,” katanya.

Berita Harian X