Selasa, 17 September 2019 | 10:51am
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan (dua kiri) melepaskan peserta konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak di perkarangan Ibu Pejabat Polis negeri. - Foto Farah Suhaidah Othman
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan (dua kiri) melepaskan peserta konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak di perkarangan Ibu Pejabat Polis negeri. - Foto Farah Suhaidah Othman

Polis buru suspek bunuh warga Myanmar

Gambar Farah Suhaidah Othman

IPOH : Polis sedang mengesan seorang lelaki Myanmar dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan rakan senegara di sebuah pelantar ikan di Jalan Hujung Pasir, Pantai Remis, Ahad lalu.

Mayat lelaki yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemui orang awam kira-kira jam 3.10 pagi dalam keadaan terlentang dengan kecederaan parah di bahagian kepala.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan, berkata rakan senegara mangsa dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di pelantar berkenaan.

“Siasatan turut mendapati mangsa dan suspek baru dua bulan bekerja di pelantar berkenaan dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Motif kejadian masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelepasan konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis negeri di sini, hari ini.

Peserta konvoi yang terdiri daripada 17 pegawai dan 52 anggota pangkat rendah JSPT negeri itu menjalani latihan bagi meningkatkan kemahiran pengendalian motosikal berat membabitkan perjalanan sejauh 882 kilometer di Perak, Kelantan dan Terengganu bermula hari ini hingga Khamis.

Berita Harian X