Selasa, 17 September 2019 | 7:35pm
Pasport asing, sejumlah wang tunai serta lebih 100 pelekat bertulis Jabatan Imigresen Malaysia antara barangan yang dirampas di KLIA.

Pegawai imigresen ditahan bersama pasport asing

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai imigresen antara dua ditahan selepas polis menemui sejumlah pasport asing, pelekat dan cop milik Jabatan Imigresen Malaysia dalam sebuah kereta di bangunan terminal utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini, semalam.

Kedua-duanya ditahan selepas sepasukan anggota polis peronda (MPV) yang sedang membuat rondaan di situ menahan sebuah kereta dipandu seorang wanita dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Sumber berkata, anggota polis yang menjalankan pemeriksaan kemudian menemui tiga pasport asing iaitu dua pasport China dan sekeping pasport Indonesia, sekeping kad pengenalan merah serta sejumlah wang tunai dalam kenderaan terbabit.

“Menerusi pemeriksaan itu, polis turut menemui lebih 100 keping pelekat bertulis Jabatan Imigresen Malaysia dan pelbagai cop jabatan berkenaan untuk urusan keluar masuk negara ini.

“Ketika anggota polis membuat pemeriksaan, datang seorang lelaki mengaku pegawai imigresen dan memberitahu kenderaan dipandu wanita itu serta barangan diperiksa polis itu adalah miliknya,” katanya.

Sumber berkata, wanita berusia 45 tahun itu mendakwa tiga pasport asing itu milik kenalannya yang kini berada di luar negara dan akan masuk ke negara ini.

“Wanita terbabit dan pegawai imigresen berusia 40 tahun itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner, Zulkifli Adamsah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, namun enggan mengulas lanjut dan hanya memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Berita Harian X