Rabu, 18 September 2019 | 3:58pm
KETUA Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahnad Dzaffir Mohd Yussof (tengah) menunjukkan barang rampasan dalam tangkapan dilakukan terhadap ahli geng pecah rumah pada 10 hingga 14 September lalu. NSTP/E-mel

12 penyamun pecah rumah, curi kereta ditahan

KAJANG: Polis menahan 12 individu, termasuk seorang wanita disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah samun pecah rumah dan melarikan kenderaan dalam beberapa siri serbuan di sekitar kawasan Kajang dan Semenyih pada 10 hingga 14 September lalu.

Kesemua suspek berusia awal 20-an hingga pertengahan 40-an itu ditahan pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang ditubuhkan untuk menangani, mengumpul maklumat, mengesan dan menangkap kumpulan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 22 tahun bersama barang rampasan pada 10 September lalu susulan maklumat dan risikan yang dijalankan.

Katanya, suspek terbabit memiliki lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan dadah, manakala ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah jenis syabu.

“Penahanan suspek berkenaan di kawasan Taman Bangi Jaya, Semenyih kemudian membawa kepada penahanan 11 lagi suspek, termasuk seorang wanita dalam serbuan di sekitar kawasan Kajang dan Semenyih pada 11 hingga 14 September.

“Semakan rekod ke atas tangkapan susulan ini, 10 daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkait jenayah samun, pecah rumah, curi kenderaan dan dadah.

“Pada masa sama, empat daripada tangkapan susulan ini didapati positif dadah jenis syabu melalui ujian saringan air kencing yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya merampas wang tunai berjumlah RM30,200 hasil kegiatan pecah rumah dan menemui semula sembilan kenderaan yang dilarikan.

“Turut dirampas, 20 unit telefon bimbit pelbagai jenis, tiga unit komputer riba, dan satu set rim tayar kereta.

“Dengan penahanan kesemua suspek kita percaya sudah menyelesaikan satu kes curi, satu kes pecah rumah dan lapan kes pecah rumah dan melarikan kenderaan di daerah Kajang bagi tempoh penghujung Julai sehingga awal September 2019,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan terbabit juga dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah dengan modus operandi yang sama di daerah luar .

Katanya, tempoh tahanan reman kesemua suspek yang tamat hari ini disambung dan siasatan kes masih dijalankan.

Berita Harian X