Khamis, 19 September 2019 | 11:14am
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Sultan Mizan menganggap Jho Low sebagai seorang yang mempunyai karakter yang tidak boleh dipercayai.

'Watak' Jho Low tidak menyenangkan Sultan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin (ketika itu) menganggap ahli perniagaan dalam buruan, Low Tark Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low sebagai seorang yang mempunyai karakter yang tidak boleh dipercayai.

Amhari Efendi iaitu saksi kelapan pendakwaan berkata demikian selepas bersetuju dengan cadangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas perdana menteri itu.

Amhari Efendi turut bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa kerajaan Negeri Terengganu tidak berpuas hati dengan peranan Jho Low dalam penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kini dikenali sebagai 1MDB.


SAKSI bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Afendi Nazaruddin hadir bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Muhammad Shafee mencadangkan kepada Amhari Efendi, perkara itu timbul berikutan sikap Jho Low yang kurang menyenangkan menyebabkan timbul rasa sangsi wakil Tuanku Mizan terhadap ahli perniagaan terbabit.

Muhammad Shafee: Jho Low dianggap sebagai ‘watak’ yang tidak menyenangkan oleh Yang Di-pertuan ( Sultan Terengganu)?

Amhari: Saya tidak tahu mengenai perkara itu.

Muhammad Shafee: Disebabkan ‘watak’ dan sikap Jho Low, Terengganu tidak gembira dengan penubuhan TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu)?

Amhari: Berdasarkan minit mesyuarat (Minit Mesyuarat TIA), ya

Muhammad Shafee: Adakah kamu setuju bahawa sikap manipulasi pada diri Jho Low menjadi antara punca rasa tidak gembira itu?

Amhari: Berdasarkan minit (Minit Mesyuarat TIA), Ya.

Amhari Efendi bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela, bahawa walaupun mengetahui perkara itu, beliau (saksi) tidak memaklumkan hal berkaitan Jho Low kepada Najib.

Saksi itu sekali lagi bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa Jho Low bercita-cita menjalinkan kerjasama dengan syarikat Mubadala Development dalam sektor minyak dan gas Terengganu tanpa pengetahuan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Ketika disoal Muhammad Shafee sama ada pernah atau tidak Jho Low memberitahu cita-citanya itu kepada Amhari, saksi kelapan pendakwaan itu menjawab “tidak tahu.”

Muhammad Shafee: Pada September 2008, Utama Banking Group (UBG) menandatangani perjanjian dengan Mubadala Development Co bagi usahasama eksklusif untuk penerokaan minyak dan gas di Terengganu, Sarawak dan Sabah, benar?

Amhari: Ya

Muhammad Shafee: Adakah Jho Low memberitahu bahawa dirinya turut terbabit dalam urusan perniagaan dengan Mubadala?

Amhari: Saya tidak diberitahu tentang itu.

Berita Harian X