Khamis, 19 September 2019 | 4:17pm
Suspek yang terbabit dalam kes samun bersenjata api dikenali sebagai 'Anjing Gemuk' ditahan polis di Pujut Corner, Miri. - NSTP/Kandau Sidi

Polis tahan 'Anjing Gemuk'

MIRI: Kelincahan ‘Anjing Gemuk’ (Pau Kaw) menyembunyikan diri selepas diburu polis berhubung kes menembak anggota polis dan melakukan samun bersenjata api, berakhir apabila suspek itu ditahan, awal pagi tadi.

Suspek berusia 37 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sebuah kediaman di Pujut Corner, dekat sini, jam 5.15 pagi.

Turut ditahan di kediaman sama seorang wanita berusia 22 tahun, selain rampasan pelbagai dadah disyaki syabu dan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata dengan tertangkapnya suspek, polis yakin dapat menyelesaikan kes samun bersenjata api dan menembak anggota polis, baru-baru ini.

“Dua lagi suspek yang terbabit dalam kes yang sama sudah ditangkap sebelum ini.

“Mereka sudah pun dituduh dan ditahan reman penjara sementara menunggu perbicaraan,” katanya di sini, hari ini.

Meng Seah berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1958.

Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1953.

Berita Harian X