Khamis, 19 September 2019 | 8:36pm

Ragut beg silang, pasangan kekasih dicekup

KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang kekasih selepas dipercayai meragut beg silang seorang wanita berusia 63 tahun sekitar Jalan Terasek 8, Bangsar di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pihaknya menahan suspek lelaki, 30, serta isterinya, 28, masing-masing penunggang dan pembonceng motosikal pada hari kejadian dan semalam.

Beliau berkata pada hari kejadian, lelaki itu dikatakan mengacu parang ke arah mangsa menyebabkan wanita itu panik dan terus melepaskan beg silang miliknya.

“Ketika itu, mangsa keluar dari kereta untuk ke pejabatnya di kawasan berkenaan, apabila itu dihampiri sebuah motosikal ditunggang dua individu.

“Selepas berjaya meragut mangsa, kedua-dua suspek melarikan diri.

“Suspek lelaki ditahan pada hari kejadian tidak jauh dari lokasi ragut itu, manakala isterinya diberkas di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, di sini, sehari selepas hari kejadian.

“Hasil siasatan mendapati motosikal digunakan suspek dipercayai dicuri di Puchong, beberapa bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan didapati positif dadah selepas ujian saringan air kencing.

“Mereka direman selama enam hari berakhir Selasa depan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Lim We Tah di talian 012-9119246 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menerusi 03-22979222,” katanya.

Berita Harian X