Khamis, 19 September 2019 | 9:23pm
Antara dadah, barangan suspek dan wang tunai dirampas di sebuah kondominium dan rumah masing-masing di Taman Maluri dan Taman Kobena, Cheras, semalam.

Dua warga asing ditahan kerana memiliki dadah

KUALA LUMPUR: Dua individu warga asing ditahan bersama dadah bernilai kira-kira RM300,000 di sebuah kondominium di Taman Maluri, Cheras, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata dalam serbuan pada jam 9 malam itu, pihaknya memberkas seorang lelaki warga Taiwan dan seorang wanita warga China bersama satu bungkusan ketamin seberat 1.1 kilogram (kg) dan 15,700 pil Erimin 5.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM250, sejumlah wang tunai negara asing dan sebuah kenderaan jenis BMW sebagai bahan bukti siasatan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua individu itu negatif dadah. Mereka direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam serbuan berasingan, Mohamed Mokhsein berkata, pihaknya menahan seorang lagi lelaki warga Taiwan di sebuah rumah sekitar Taman Kobena Cheras, dekat sini, semalam.

Katanya, turut dirampas syabu seberat (113 gram) dan minyak ganja masing-masing bernilai kira-kira RM17,010 dan RM5,400, selain wang tunai berjumlah RM300.

“Kita berkas lelaki itu yang juga didapati positif dadah, dua jam sebelum tangkap dua individu terbabit di Taman Maluri, Cheras.

“Hasil siasatan mendapati dua kes ini tidak mempunyai kaitan.

“Lelaki ditahan di Taman Kobena Cheras turut direman tujuh hari mengikut peruntukan undang-undang sama,” katanya.

Berita Harian X