Khamis, 19 September 2019 | 11:38pm
SEORANG warga emas ditemui mati dengan kedua tangannya diikat di pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ampang Jaya, hari ini.

Warga emas ditemui mati

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas ditemui mati dengan kedua tangannya diikat di pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ampang Jaya, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, wanita yang berusia 85 tahun itu dijumpai dalam keadaan tertiarap oleh anak keduanya yang pulang dari bekerja.

Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata anaknya yang berusia 61 tahun menetap bersama wanita berkenaan sejak 10 tahun lalu selepas bapanya meninggal dunia.

“Saya tidak mendengar sebarang jeritan petang tadi, namun rata-rata jiran di sini sudah dimaklumkan mengenai berita wanita itu sudah menghembuskan nafas terakhirnya.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan tangan terikat di dalam bilik tidurnya,” katanya ketika ditemui di pangsapuri berkenaan, malam ini.

Katanya, anak mangsa terbabit turut memaklumkan rumahnya dalam keadaan berselerak, namun tidak dapat mengesahkan jika terdapat barang berharga yang hilang.

“Kali terakhir saya lihat mangsa ketika sedang sapu sampah di hadapan rumahnya, semalam,” katanya.

Difahamkan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Noor Azmi Yusoff, dalam satu kenyataan mengesahkan wanita warga emas itu ditemui mati di pangsapuri berkenaan petang tadi.

"Bahagian kepala mangsa turut ditutup dengan kain. Mayat dihantar ke Unit Forensik HUKM untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan A Wiswanathan di talian 012-3198918.

Berita Harian X