Jumaat, 20 September 2019 | 7:25pm
Hussin (gambar kecil) meninggal dunia selepas motosikal ditunggang hilang kawalan lalu terjatuh ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tanjung Gelam. - Ihsan pembaca

Perasaan teruja mahu jumpa anak, cucu tidak kesampaian

KUALA NERUS: Perasaan teruja seorang bapa untuk menyambut kepulangan anak sulung bersama lima cucunya, tidak kesampaian apabila beliau maut dalam kemalangan di Jalan Padang Nenas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi berhampiran persimpangan lampu isyarat, Hussin Abdul Rahman, 73, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang hilang kawalan lalu terjatuh ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tanjung Gelam.

Isteri mangsa, Zaimah Mohd Noor, 65, berkata terdahulu suaminya yang juga menghidap darah tinggi dan gout, pulang ke rumah dengan membawa ikan untuk dimasak sebelum keluar semula untuk membeli rambutan.

“Kebetulan hari ini, anak sulung, Mohd Hasbi, 42, hendak balik selepas tiga bulan bekerja di Kerteh, Kemaman, dan arwah memang teruja hendak berjumpa dengan anak serta cucu. Mula-mula, suami ke kedai dan pulang membawa ikan tetapi kemudian keluar semula untuk membeli rambutan.

“Arwah memang menghidap darah tinggi dan perlu makan ubat setiap hari. Arwah pernah beberapa kali pengsan di tepi jalan kerana diserang darah tinggi. Apabila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan tekanan darahnya naik mendadak.

“Pagi tadi, saya terkejut apabila jiran memaklumkan suami meninggal dunia kerana terjatuh daripada motosikalnya di lokasi kejadian. Mungkin arwah diserang darah tinggi,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan, berkata kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave dari Kampung Padang Nenas ke Kampung Tanjung Gelam.

“Mangsa menunggang motosikal berseorangan di lorong kiri jalan. Setiba di lokasi kejadian, motosikal itu dipercayai hilang kawalan sebelum mangsa terjatuh ke jalan.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat dihantar ke HSNZ untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X