Jumaat, 20 September 2019 | 8:53pm
Mohd Khairul (dua dari kanan) menunjukkan gambar sungai tercemar di kawasan Pasir Gudang selepas sidang media Biro Aduan Awam PUTRA mengenai keputusan sampel air Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Kadar pencemaran Sungai Kim Kim terlalu tinggi

PASIR GUDANG: Kadar pencemaran Sungai Kim Kim di sini, yang pernah menjadi punca pencemaran toksik akibat pembuangan sisa kimia pada Mac lalu, didakwa terlalu tinggi sehingga mencecah 153 kali ganda daripada bacaan sepatutnya.

Keputusan itu didakwa diperoleh hasil ujian makmal kimia swasta bagi sampel air yang diambil di 10 lokasi berbeza yang terletak berhampiran perumahan penduduk di jajaran sungai berkenaan, dua bulan lalu.

Pengerusi Biro Aduan Awam PUTRA, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata ujian makmal bebas itu membabitkan beberapa parameter kajian, termasuk Keperluan Oksigen Kimia (COD) dan Keperluan Oksigen Biokimia (BOD).

“Sebagai contoh, bagi bacaan COD, ada sampel yang diambil mempunyai bacaan 3,435 serta 12,245 sedangkan kadar sepatutnya hanya 80.

“Bagi kadar BOD yang sepatutnya 20 pula, ada sampel diuji mencecah bacaan 3,384.3 dan 821.3,” katanya pada sidang media bersama wakil Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam Pasir Gudang (BBPIPAPG) di Taman Pasir Putih di sini, hari ini.

Pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim pada 7 Mac lalu itu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang, di sini, diarahkan ditutup untuk sementara waktu.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul mendesak pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta kerajaan negeri bersikap lebih telus dengan mendedahkan keputusan hasil ujian sampel air sungai itu bagi membolehkan penduduk mengetahui tahap sebenar pencemaran itu.

“Berdasarkan hasil ujian, bacaan di setiap lokasi adalah berbeza, menandakan wujud aktiviti melepaskan bahan buangan ke sungai oleh pihak tertentu di kawasan berhampiran.

“Pihak berkuasa boleh mengesan pihak industri yang membuangnya dengan membandingkan keputusan ujian dengan bahan yang diproses kilang di kawasan terbabit.

“Keputusan ujian dan tindakan yang diambil pihak berkuasa perlu didedahkan kepada penduduk kerana mereka berhak tahu bahan apa yang keluar dari sungai itu yang dihidu mereka setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BBPIPAPG, Rafee Abdullah, berkata mereka akan menyerahkan keputusan ujian berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menuntut penjelasan dan tindakan lanjut.

“Kita mempunyai pertemuan dengan wakil kerajaan dari semasa ke semasa dan kita akan minta mereka jalankan tindakan lanjut yang sewajarnya,” katanya.

Berita Harian X