Jumaat, 20 September 2019 | 9:02pm
Maritim Malaysia mengusir keluar kapal penguat kuasa Vietnam, Fisheries Resources Surveillance KN 205 yang mengganggu aset Maritim Malaysia, KM Langkawi ketika menjalankan tugas. - Ihsan Maritim Malaysia

Maritim Malaysia usir kapal penguat kuasa Vietnam

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengusir keluar kapal penguat kuasa Vietnam, Fisheries Resources Surveillance KN 205 yang mengganggu aset Maritim Malaysia, KM Langkawi ketika menjalankan tugas, kelmarin.

Ketika kejadian, KM Langkawi menahan bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan Malaysia untuk merompak hasil laut negara di kedudukan kira-kira 167 batu nautika timur laut Tanjung Mat Amin, Terengganu kira-kira jam 9.48 pagi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Ibrahim Mohamed, berkata kapal penguat kuasa Vietnam terbabit cuba menghalang anggota penguat kuasa Maritim Malaysia dengan cuba menghimpit bot tahanan selain membuat pusingan berbahaya di hadapan KM Langkawi.

“Namun, cubaan mereka gagal apabila KM Langkawi berjaya menghalang mereka daripada mendekati bot tahanan yang sedang dikawal untuk dibawa pulang bagi siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia sudah memaklumkan insiden tersebut kepada kepada Wisma Putra dan sudah menghubungi Penasihat Pertahanan Vietnam untuk mengadakan perbincangan bagi menangani insiden yang berlaku dengan kadar segera pada hari ini,

“Malangnya, beliau tidak dapat hadir dan hanya akan bertemu wakil dari Bahagian Operasi Maritim Malaysia pada minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, pada mulanya kapal penguatkuasa Vietnam itu meminta agar KM Langkawi melepaskan bot nelayan mereka daripada ditahan.

“Namun begitu, KM Langkawi tidak memenuhi permintaan mereka kerana bot nelayan berkenaan melakukan kesalahan berat iaitu menceroboh perairan Terengganu untuk merompak hasil laut Malaysia, dan mengarahkan kapal tersebut keluar dari perairan negara.

“Bot nelayan terbabit bersama tiga nelayan, termasuk tekong warga Vietnam ditahan, turut dirampas diesel dianggarkan 9,000 liter serta peralatan menangkap ikan dan kesemuanya dianggarkan bernilai RM700,000,” katanya.

Beliau berkata, bot dan semua kru Vietnam terbabit dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman jam 6 petang semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan, dan juga Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Maritim Malaysia akan meneruskan operasi bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam, sejak 2006 hingga kini, APMM berjaya menahan 1272 bot nelayan asing dengan jumlah kru ditahan sebanyak 10,408 orang.

“Daripada jumlah itu, 784 bot adalah bot nelayan Vietnam dengan jumlah kru yang ditahan seramai 7399, manakala nilai rampasan keseluruhan bot nelayan asing sejak 2006 dianggarkan berjumlah RM1.2 bilion,” katanya.

Berita Harian X