Jumaat, 20 September 2019 | 9:23pm
Sungai Segamat di Kampung Batu Badak, Segamat kelihatan berjerebu. - NSTP/Ahmad Ismail

Pencemaran udara: JAS gantung lesen kilang proses minyak sawit

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menggantung lesen operasi sebuah kilang memproses kelapa sawit di sempadan kawasan Kebun Baru-Jementah, dekat Segamat, kerana menyebabkan pencemaran udara di kawasan sekitarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon, berkata notis penggantungan lesen selama tiga bulan berkuat kuasa Rabu lalu, dikeluarkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, pemilik kilang turut diarah menyerahkan lesen asal dan jadual pematuhan kepada JAS dengan serta-merta.

“Selain larangan menjalankan operasi kilang sepanjang tempoh penggantungan lesen, Majlis Daerah Tangkak turut menggantung lesen perniagaan kilang berkenaan sehingga segala syarat dan peraturan pelesenan dipatuhi sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Chen Choon berkata, kerajaan negeri tidak sesekali akan berkompromi dengan mana-mana pemain industri yang gagal mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan bagi memastikan tiada berlaku sebarang pencemaran.

Beliau berkata, JAS bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan premis industri di seluruh negeri bagi memastikan Johor bebas daripada pencemaran industri.

Sementara itu, berhubung penemuan orang awam terhadap pembentukan buih putih di aliran Sungai Skudai, Johor Bahru, pada jam 10.30 pagi tadi, Chen Choon berkata, JAS sudah memantau aliran sungai berkenaan dan mendapati ia hanya berlaku di kawasan berhampiran jambatan menghubungkan Johor Bahru menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

“Tiada sebarang pembentukan buih ditemui di kawasan hilir sungai dan pihak JAS yang berada di lokasi kejadian, sedang berusaha mengenal pasti punca berlakunya pembentukan buih itu menerusi pengambilan bacaan in-situ air di lokasi.

“Maklumat awal mendapati bacaan paras ammonia meningkat tinggi akibat cuaca kering yang merencatkan pencairan air sungai berkenaan,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X