Jumaat, 20 September 2019 | 9:34pm
Van dan rokok yang dilarikan suspek selepas mendakwa dirinya disamun di Jalan Rampai Niaga 3, Rampai Business Park, Wangsa Maju. - Ihsan PDRM

Helah buat laporan disamun terbongkar

KUALA LUMPUR: Helah seorang pekerja syarikat rokok membuat laporan van milik majikannya disamun terbongkar selepas dia ditahan kerana disyaki terbabit dalam jenayah itu, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata tangkapan dibuat selepas timbul keraguan terhadap laporan polis dibuat suspek berusia 29 tahun itu.

Katanya, hasil siasatan mendapati dia merancang dan mengatur kejadian terbabit bersama-sama dua rakannya.

“Pengadu iaitu suspek mengatakan dirinya disamun enam lelaki bersenjatakan sebilah parang dan cota besi ketika berhenti di tepi jalan di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Rampai Niaga 3, Rampai Bussiness Park, bagi membuat penghantaran stok barangan.

“Menurutnya, penjenayah merampas dan melarikan van bersama-sama stok barangan syarikat pengadu yang dianggarkan bernilai RM90,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Rajab Ahad berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendedahkan dua lelaki menaiki motosikal datang dari arah belakang van lalu menghampiri dan menolak pengadu.

Katanya, berdasarkan rakaman itu pengadu didapati tidak melawan dan membiarkan suspek melarikan van terbabit.

“Terdapat keraguan dalam laporan polis oleh pengadu menyebabkan dia ditahan jam 2.30 petang hari yang sama.

“Berpandukan arah suspek, serbuan dibuat di sebuah rumah di Taman Sri Sinar, Segambut pada jam 3.30 petang dan menahan lima lelaki disyaki terbabit dalam kejadian samun pada hari sama.

“Turut ditemui, van syarikat yang dilarikan suspek dan sejumlah barangan yang dilaporkan disamun,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kesemua mereka yang berusia 27 hingga 36 tahun itu ditahan reman selama enam hari sehingga 24 September ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X