Jumaat, 20 September 2019 | 9:37pm

Polis akan tahan lagi kakitangan JPN Pulau Pinang susulan jual MyKad

GEORGETOWN: Polis akan menahan beberapa lagi kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang melalui fasa kedua Ops Biru membabitkan penjualan MyKad dan sijil kelahiran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata maklumat berhubung kes itu akan diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam tempoh terdekat.

“Apa yang saya boleh sahkan akan ada tangkapan lagi membabitkan kakitangan JPN di sini dalam fasa kedua operasi.

“Ia akan dimaklumkan nanti oleh Datuk Huzir,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Sidang Media Tangkapan dan Rampasan Dadah Kokain oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sini, hari ini.

Pada 12 September lalu, Penolong Pengarah JPN negeri, Mohd Faizul Arifin, 34, adalah antara enam individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta MyKad sah kepada warga asing.

Mohd Faizul didakwa dengan 11 pertuduhan, iaitu dua mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM); Seksyen 466 Kanun Keseksaan (empat pertuduhan) dan Peraturan 25 (1) (i) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (lima pertuduhan).

Selain Mohd Faizul, lima lagi tertuduh yang kesemuanya rakyat tempatan ialah Datuk Lai Chin Wah, 56; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36; Yap Cheng Wah, 44, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 56.

Mohd Faizul didakwa membuat dan memalsukan kad pengenalan dan sijil kelahiran atas nama Ewe Chor Beng dan Tan Xiu Xiu, selain mengeluarkan kad pengenalan atas nama Lim Hock Eng, Yang Xiaohong, dan Pheh Jin Leong, yang kesemuanya dipercayai adalah warga China.

Pendakwaan itu susulan Ops Biru yang dilancarkan pihak berkuasa sejak bulan lalu, dalam usaha mengekang sindiket mengeluarkan dan menjual MyKad dan sijil kelahiran sah kepada warga asing.

Abdul Hamid pada Sidang Media Tangkapan dan Rampasan Dadah Kokain oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Georgetown, hari ini. - NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X