Jumaat, 20 September 2019 | 10:21pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kes hina Agong dalam Twitter: Kertas siasatan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam laman sosial Twitter akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk pandangan dan arahan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata semua yang ditahan berhubung kes itu sudah dibebaskan pada 14 September lalu dengan jaminan polis.

“Pada 12 September, satu laporan polis diterima di Kuantan (Pahang) berhubung beberapa komen oleh warganet di media sosial yang menghina Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong di laman Twitter.

“Hasil siasatan, empat suspek ditangkap pada 13 September, tiga daripadanya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, manakala seorang suspek ditahan di Klang, Selangor.

“Beberapa rampasan peralatan digital sudah dibuat ke atas semua suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Huzir berkata, selain itu, tiga lagi kes membabitkan tiga individu mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW juga akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.

“Kes pertama membabitkan seorang lelaki pemilik akaun Facebook (FB), yang menggunakan nama Zahrein Zakariah. Suspek ditahan reman tiga hari dan dibebaskan dengan jaminan polis pada 14 September.

“Kes kedua, seorang lelaki menggunakan nama Ramar Nara dalam akaun FB miliknya ditahan selepas mengeluarkan kenyataan menghina kaum Melayu pada 16 Ogos lalu. Dia ditahan reman tiga hari dan dibebaskan dengan jaminan polis pada 13 September.

“Kes ketiga pula membabitkan tangkapan seorang wanita yang didapati menghina Nabi Muhammad SAW melalui akaun FB menggunakan nama Ain Zafirah atau Nia Fira. Suspek kemudian dibebaskan pada 14 September selepas ditahan reman selama tiga hari,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes penahanan seorang lelaki berhubung sebuah video yang dimuat naik dalam laman YouTube oleh seorang lelaki dikenali sebagai Arunakiri, suspek sudah dituduh di mahkamah, hari ini.

“Suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang kena tuduh (OKT) dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan OKT juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali bermula 1 Oktober,” katanya.

Huzir berkata, untuk kes menerima ugutan dan isyarat lucah daripada orang awam di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, tangkapan terhadap suspek dibuat pada 18 September selepas suspek menyerah diri di pos kawalan Bukit Aman.

Katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan polis semalam kerana suspek mengalami masalah mental dan masih mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Berita Harian X