Jumaat, 20 September 2019 | 11:46pm

KPDNHEP lupus RM850,000 barang tiruan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur melupuskan barangan tiruan bernilai RM850,000, hari ini.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Azeem Nazuri, berkata barangan tiruan yang dilupuskan itu membabitkan 42 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Katanya, antara barangan dilupuskan adalah minuman keras, beg tangan, minyak pelincir, produk kosmetik dan telefon pintar.

“Pelupusan ini dilaksanakan selepas mendapat arahan daripada mahkamah dan pengawal perihal dagangan.

“Kebanyakan barangan tiruan ini dirampas dalam serbuan dan operasi di pasar malam dan premis perniagaan di sekitar ibu kota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Stor KPDNHEP Kuala Lumpur, Jalan Segambut Atas, di sini, hari ini.

Azeem berkata, sejak awal tahun hingga kini pihaknya merekodkan 96 kes dengan rampasan 70,390 pelbagai barangan tiruan membabitkan nilai sitaan RM2.46 juta.

“Ia membabitkan barangan seperti seluar, baju, tali pinggang, dompet, beg tangan, bagasi, cermin mata dan jam tangan.

“Kita menasihatkan individu atau syarikat supaya tidak menjual barangan tiruan disebabkan ia melanggar hak harta intelek,” katanya.

Azeem (tengah) bersama pegawai dan anggota melupuskan barang tiruan yang dirampas di stor KPDNHEP Segambut. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X