Sabtu, 21 September 2019 | 9:28am
KEADAAN kenderaan dipandu suspek selepas terbabas dalam kejadian di simpang Pekan Goshen, di Kota Marudu. NSTP/Ihsan POLIS.

Tokan dadah rempuh, himpit kenderaan polis elak ditahan

KOTA MARUDU: Terdesak mahu melarikan diri, seorang lelaki bertindak merempuh kenderaan polis hingga menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan sebelum suspek berjaya ditahan dalam kejadian di Pekan Goshen, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, polis turut menemui dadah jenis syabu dalam kereta jenis Perodua Bezza dipandu suspek yang juga seorang warga Filipina berusia 42 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata sebelum kejadian, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu cuba menahan seorang lelaki di kawasan parkir berhampiran sebuah pasar raya.

“Bagaimanapun, suspek yang menaiki Perodua Bezza terus memecut dalam usahanya meloloskan diri sebelum dikejar anggota bertugas yang kemudian mengarahkannya berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, suspek tidak mempedulikan arahan itu lalu terus merempuh dan menghimpit kenderaan polis,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohd Izaan berkata, tindakan suspek yang memandu secara berbahaya dan dikhuatiri membahayakan pengguna jalan raya lain menyebabkan anggota polis melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dipandunya.

“Tembakan itu menyebabkan suspek terbabas ke dalam parit di bahu jalan sebelum berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Kota Marudu.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian membawa penemuan syabu seberat 20 gram, malah hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Berita Harian X