Sabtu, 21 September 2019 | 9:49am
ANTARA individu yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah dalam satu operasi di tiga lokasi berasingan, di sekitar daerah Beaufort. NSTP/Ihsan AADK.

Dua beranak, suami isteri antara `kaki lalok' ditahan

BEAUFORT: Dua beranak dan suami isteri antara individu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi bersepadu membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di tiga lokasi berasingan di daerah ini kelmarin.

Keseluruhannya, 22 individu berusia antara 21 hingga 51 tahun ditahan dalam operasi berkenaan yang bermula jam 1.30 pagi, selepas didapati positif dadah.

Ketua AADK Daerah Beaufort, Effanehwati Lakat, berkata operasi itu yang disertai 10 pegawai dan anggotanya bertumpu di Kampung Jempangah di Beaufort, Kampung Seri Serbang di Bongawan dan Kampung Kawang di Papar.


ANTARA individu yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah dalam satu operasi di tiga lokasi berasingan, di sekitar daerah Beaufort. NSTP/Ihsan AADK.

“Dalam operasi yang berakhir jam 3.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 51 tahun bersama anaknya yang berusia 19 tahun ditahan selepas hasil ujian air kencing mereka mendapati kedua-duanya positif dadah.

“Pemeriksaan seterusnya membawa kepada penahanan pasangan suami isteri, masing-masing berusia 37 dan 32 tahun, selepas didapati positif dadah,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, sepanjang operasi yang berlangsung selama dua jam, pelbagai gelagat penagih dapat dilihat dalam usaha mereka meloloskan diri ketika serbuan dilakukan.

“Seorang lelaki cuba melarikan diri melalui pintu belakang, namun menyedari rumahnya sudah dikepung, dia memanjat dinding sebelum bersembunyi di siling rumah bagi mengelak ditahan.

“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan,” katanya sambil memaklumkan kesemua individu terbabit ditahan

mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Effanehwati berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung salah guna dadah boleh memberikan maklumat dengan menghubungi AADK Beaufort di talian 087-222667 atau tampil ke pejabat AADK berhampiran.

Berita Harian X