Sabtu, 21 September 2019 | 10:59am
JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan seramai 45 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat karaoke, di Seri Manjung. NSTP/Ihsan Pembaca.

Sanggup mengaku GRO isteri, teman wanita elak ditahan

LUMUT: Seramai 45 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat karaoke di Seri Manjung, di sini malam tadi.

Operasi bersepadu selama dua jam bermula jam 12.30 tengah malam itu membabitkan seramai 41 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Perak.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail, berkata serbuan itu adalah hasil aduan awam dan maklumat risikan dijalankan selama dua minggu oleh pegawai dan anggotanya.

“Turut ditahan seorang majikan dan lima pekerja warga tempatan. Kesemua ditahan berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun. Ketika serbuan, GRO berkenaan sedang asyik melayan pelanggan tanpa menyedari kehadiran penguatkuasa,” katanya ketika ditemui, di sini malam tadi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis yang sudah beroperasi lebih setahun itu dipercayai menjadi tumpuan lelaki warga tempatan untuk mendapatkan layanan GRO.

Katanya, pelbagai alasan diberikan oleh pelanggan premis berkenaan bagi mengelak ditahan, termasuk mengaku GRO ditempah mereka sebagai teman wanita dan isteri.

“Kita turut menahan seorang lelaki berusia 40-an yang bertindak agresif dengan menghalang tugas penjawat awam dan siasatan lanjut akan dijalankan terhadapnya.

“Kesemua mereka yang ditahan kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. Antara kesalahan dilakukan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas lawatan dan tinggal lebih masa di negara ini,” katanya.

Kamalludin berkata, majikan dan pekerja yang ditahan boleh didakwa kerana melindungi serta menggaji warga asing tanpa pas kerja sah.

Berita Harian X