Sabtu, 21 September 2019 | 3:00pm
KONG Joon Chung ditemui selamat selepas dilaporkan hilang ketika menyertai larian amal di tapak Jungle Trekking Bukit Kidurong. - Foto Erika George

Warga emas tersesat 17 jam ketika larian amal

BINTULU: Seorang lelaki warga emas tersesat hampir 17 jam ketika menyertai larian amal di tapak Jungle Trekking Bukit Kidurong, di sini, semalam.

Kong Joon Chung, 74, yang dikata memulakan larian bersama rakannya pada jam 5.30 petang sebelum disedari hilang apabila peserta lain tiba di garisan penamat, bagaimanapun ditemui selamat jam 9.45 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata terdahulu selepas menyedari kehilangan mangsa, anak lelaki Joon Chung memasuki laluan itu bersama rakan untuk mencari tetapi gagal menjejakinya.

“Beliau kemudian membuat laporan polis. Seramai lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jurucakap itu berkata, pihaknya memulakan SAR pada jam 1.45 pagi tadi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.32 pagi.

“Keadaan kawasan itu yang gelap menyebabkan SAR terpaksa ditangguhkan sebelum disambung semula jam 8.05 pagi tadi.

“Selepas satu jam lebih operasi SAR disambung, kami dimaklumkan bahawa mangsa ditemui selamat oleh orang awam dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Berita Harian X