Ahad, 22 September 2019 | 2:41pm

Tapak pusat kusta digempur lagi

SUNGAI BULOH: Tapak Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang kini didiami pendatang asing tanpa izin (PATI), sekali lagi digempur Jabatan Imigresen hari ini dalam usaha menghapuskan isu pencerobohan di lokasi terbabit.

Dalam operasi bermula jam 9 hingga 11 pagi itu, 160 pegawai dan anggota penguatkuasa Imigresen Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikerahkan ke lokasi berkenaan.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi, berkata hasil serbuan itu, 22 PATI berusia antara 20 hingga 50 tahun yang bekerja sebagai penjaga nurseri dan tapak tanaman rumput ditahan.

Katanya, seorang bayi berusia dua bulan dan kanak-kanak berumur dua tahun turut ditahan selepas ibu mereka disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke negara ini.

“Dalam operasi itu, 19 warga Indonesia, dua Myanmar dan seorang dari Bangladesh ditahan termasuk tujuh wanita. Kesemua mereka dibawa ke pejabat Imigresen Selangor untuk proses dokumentasi sebelum tindakan selanjutnya diambil.


ANTARA pendatang asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN). - Foto Asyrah Hamzah

“Selain itu, kita juga menyiasat warga tempatan yang menggaji pekerja asing ini bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka kerana ia turut menyalahi undang-undang,” katanya ketika ditemui sebaik operasi selesai di sini, hari ini.

Operasi turut disertai lima pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor.

Kesalahan yang dilakukan oleh PATI ini adalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas/permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tinggal lebih masa dan peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang diberikan.

BH sebelum ini melaporkan berlaku pencerobohan di PKKN membabitkan PATI dengan majoriti dari Indonesia dan sebahagian kecil warga Bangladesh yang mengusahakan perusahaan penanaman rumput serta nurseri.

Malah, tinjauan juga mendapati terdapat kediaman bekas pesakit kusta di PKKN didiami warga asing yang menceroboh kawasan berkenaan.

ANTARA pendatang asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN). - Foto Asyrah Hamzah
Berita Harian X