Ahad, 22 September 2019 | 3:36pm
ABDULLAH Sani dihukum penjara 15 tahun dan denda RM90,000 selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan wang milik syarikat Herba Prima Marketing berjumlah RM246,600. - Foto BERNAMA

Bekas penasihat Dr Rozmey dipenjara 15 tahun, denda RM90,000

ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM90,000 ke atas bekas penasihat peribadi dan kewangan ahli perniagaan, Datuk Dr Che Rozmey Che Din.

Hakim Azman Abu Hassan, menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdullah Sani, 64, yang didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah membabitkan wang milik syarikat Herba Prima Marketing berjumlah RM246,600.

Bagi tuduhan pertama, Abdullah didapati bersalah mengambil sewaan bangunan di Taman Bayu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang berjumlah RM97,000 antara 5 September hingga 5 Disember 2014.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, dia didapati bersalah mengambil sewaan bangunan sama berjumlah RM88,000 antara 20 Mac 2015 hingga 28 Disember 2015 dan RM61,600 antara 19 Januari 2016 hingga 8 Julai 2016.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan di pejabat Herba Prima Marketing di Bandar Darul Aman Jaya, Jitra.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula semalam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Md Ruslan dan tertuduh diwakili peguam, Badrol Hisham Abdullah.

Badrol Hisham kemudian memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara ke atas anak guamnya atas faktor Abdullah perlu menjalani rawatan penyakit kencing manis dan hipertensi selain bagi membolehkannya memfailkan rayuan.

Mahkamah membenarkan permohonan itu, namun memerintahkan tertuduh membayar denda itu serta-merta atau dipenjara 24 bulan jika gagal berbuat demikian.

Berita Harian X