Isnin, 23 September 2019 | 1:45pm

Patuhi larangan aktiviti di kawasan berisiko renjatan elektrik - TNB

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan mematuhi larangan aktiviti di kawasan berisiko berlakunya renjatan elektrik.

TNB dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar yang maut akibat renjatan ketika mengait umpan tiruan yang tersangkut pada kabel elektrik di Bachok, Kelantan, Jumaat lalu.

Syarikat utiliti itu turut memaklumkan mangsa berada di bawah talian bervoltan tinggi yang terdedah kepada renjatan elektrik dan percikan arka.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi larangan ketika berada di kawasan yang dipasang notis makluman potensi risiko renjatan elektrik.

“Bagi kawasan berdekatan talian atas bervoltan tinggi, antara aktiviti tidak dibenarkan adalah membawa peralatan panjang seperti galah dan memancing di kolam atau tasik di bawah talian.

“Bermain layang-layang dan helikopter atau kapal terbang kawalan jauh serta dron juga mengundang risiko renjatan elektrik. Aktiviti berkenaan amat berbahaya dan berisiko tinggi serta boleh mengancam nyawa malah turut merosakkan harta benda,” katanya.

Sehubungan itu, TNB memohon jasa baik orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, untuk segera menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mencegah perkara yang tidak diingini dari berlaku.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah dilaporkan berkata, mangsa yang juga pelajar tingkatan satu dipercayai cuba mengambil umpan tiruan miliknya yang tersangkut pada kabel elektrik di Padang Melintang, Tawang di Bachok.

Mangsa dikatakan menggunakan galah buluh yang basah untuk mengait umpan itu sebelum terkena talian elektrik dan berlaku aliran elektrik menyebabkan renjatan elektrik pada mangsa.

Berita Harian X