Selasa, 24 September 2019 | 4:25pm
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Najib arahkan tukar penandatangan TIA - Shahrol Azral

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui ahli perniagaan dikehendaki polis, Low Taek Jho atau Jho Low mengarahkan supaya Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) Berhad menukar penandatangan akaun syarikat melalui resolusi yang sah.

Arahan itu susulan daripada peletakan jawatan adinda Sultan Terengganu, Tengku Datuk Rahimah Puteri al-Marhum Sultan Mahmud sebagai pengarah TIA melalui surat bertarikh 27 Mei 2009 yang ditujukan kepada ahli lembaga pengarah (BOD) TIA.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Developement Berhad (MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam keterangannya berkata tujuan surat itu dikeluarkan Tengku Rahimah berikutan ingin memaklumkan kepada BOD TIA bahawa baginda berhasrat meletak jawatan sebagai seorang daripada Pengarah TIA serta-merta.

Saksi pendakwaan kesembilan itu, berkata Tengku Rahimah turut memaklumkan melalui surat itu bahawa baginda tidak akan membuat sebarang tuntutan atau pampasan kepada TIA berikutan peletakan jawatan yang dibuatnya.

“Selepas berlaku konflik dengan pihak Istana Terengganu sehingga Tengku Rahimah meletak jawatan sebagai pengarah TIA, saya merasa tidak selesa kerana ia membabitkan golongan atasan.

“Saya meminta pandangan Jho Low dan beliau memaklumkan kepada saya bahawa Najib mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA kerana terdapat bon RM5 billion yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) akan mengambil alih syer Menteri Besar Terengganu Incorporated (MBI) dan membayar semula saham mereka... Ini bermakna TIA akan menjadi syarikat milik penuh MOF Inc. dan dananya dijamin oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Shahrol Azral berkata, bagi menjaga dana IMTN yang sudah berada dalam akaun TIA, Najib melalui Jho Low mengarahkan agar TIA menukar penandatangan akaun syarikat melalui resolusi yang sah.

Terdahulu, Shahrol Azral memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima surat itu daripada Ambank sebagai maklum balas kepada surat Tengku Rahimah bertarikh 22 Mei 2009.

Katanya, surat itu berkaitan AmInvestment yang pada dasarnya memaklumkan bahawa penggantungan IMTN itu tidak boleh dilakukan kerana ia akan mengganggu pasaran dan impak yang serius kepada pasaran modal IMTN.

“Saya merujuk kepada Jho Low dan beliau tetap berpegang pada arahan Najib pada malam 22 Mei 2009 di rumah beliau iaitu IMTN perlu diteruskan walaupun mendapat tentangan daripada pemegang saham yang lain.

“Oleh itu, saya mengeluarkan satu surat rasmi kepada AmInvestment Bank untuk mengarahkan mereka meneruskan terbitan bon IMTN seperti diarahkan Najib.

“Melalui surat itu, AmInvestment meneruskan terbitan IMTN manakala pihak kami (TIA) pula menandatangani perjanjian Murabahah Purchase,” katanya.

Shahrol Azral berkata, terdapat lapan dokumen berkaitan perjanjian terbitan bon IMTN antara TIA dan AmInvestment Bank Berhad pada 26 Mei 2009.

Katanya, setiap perjanjian menggunakan konsep patuh syariah iaitu Konsep Murabahah.

Berita Harian X