Rabu, 25 September 2019 | 11:56am
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan orang ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Pengambilalihan TIA untuk sembunyikan penyelewengan Najib

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pengambilalihan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah untuk menyembunyikan penyelewengan Datuk Seri Najib Razak berhubung penerbitan bon pinjaman Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata dasar pengambilalihan itu dirancang oleh ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.

“Berdasarkan apa yang saya tahu sekarang, saya yakin dasar pengambilalihan TIA oleh 1MDB secara ‘as is where is basis’ ini adalah dirancang oleh Jho Low.

“Ia bagi menyembunyikan penyelewengan Datuk Seri Najib dalam penerbitan bon IMTN RM5 bilion dengan Jaminan Kerajaan yang dibuat pada Mei 2009,” katanya.

Sementara itu, Shahrol Azral yang membacakan pernyataan saksi, berkata Jho Low mengarahkannya menulis surat kepada Najib bagi memastikan 1MDB tidak perlu diaudit.

Beliau berkata, surat daripada 1MDB bertarikh 11 Disember 2009 kepada bekas perdana menteri itu dibuatbdengan alasan ia adalah permintaan Najib sendiri.

Katanya, dalam surat daripada 1MDB itu menyatakan berkenaan ‘1MDB:Updates & Approvals’, di mana pihak TIA merujuk kepada keputusan dan kelulusan oleh Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB yang bersetuju mengenai hala tuju proses pengambilalihan berkenaan.

Berita Harian X