Rabu, 25 September 2019 | 5:41pm
Sebuah lori tangki terbalik menyebabkan tumpahan muatan bahan kimia mudah terbakar jenis ‘Acetone Thinner’ di Kampung Parit Mentara 3, di Bagan Serai. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Sebuah lori tangki terbalik menyebabkan tumpahan muatan bahan kimia mudah terbakar jenis ‘Acetone Thinner’ di Kampung Parit Mentara 3, di Bagan Serai. - NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Lori tangki terbalik: Cecair kimia tumpah, penduduk terpaksa dipindahkan

BAGAN SERAI: Tujuh penduduk terpaksa dipindahkan apabila sebuah lori tangki terbalik menyebabkan tumpahan muatan bahan kimia mudah terbakar jenis ‘Acetone Thinner’ di Kampung Parit Mentara 3, di sini, awal pagi tadi.

Langkah itu diambil bagi tujuan keselamatan selepas lori dipandu lelaki berusia 24 tahun itu terbabas ke dalam parit lalu terbalik kira-kira jam 5 pagi ketika dalam perjalanan membawa muatan cecair kimia berkenaan dari Klang ke Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata nahas berlaku apabila pemandu itu dipercayai tersalah jalan memasuki laluan di kampung berkenaan.

“Pemandu lori terbabit dilaporkan tidak cedera, namun kemalangan itu menyebabkan muatan cecair kimia tumpah dan mengalir ke dalam parit.

“Pasukan bomba serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu. Susulan itu, proses pemindahan cecair kimia berkenaan dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai tumpahan bahan kimia itu pada jam 9.58 pagi.

“Setiba di lokasi kejadian, sebuah lori membawa cecair mudah terbakar didapati terbabas ke dalam parit. Pemeriksaan lanjut juga mendapati ada kebocoran dan tumpahan bahan kimia berkenaan.

“Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh bergegas ke lokasi bagi mengawal kebocoran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, bahan kimia terbabit boleh menyebabkan kebakaran, justeru pihaknya mengarahkan penduduk tinggal berdekatan supaya mengosongkan rumah dalam jarak 100 meter bagi tujuan keselamatan.

Penduduk, Zalina Masni, 37, ketika ditemui pula berkata beliau bersama ahli keluarga diarahkan berpindah sementara waktu pada jam 1 tengah hari tadi kerana rumahnya terletak berhampiran lokasi tumpahan kimia itu.

“Saya dan keluarga akur dengan arahan itu kerana bahan kimia berkenaan mudah terbakar, selain boleh menyebabkan sesak nafas,” katanya.

Berita Harian X