Khamis, 26 September 2019 | 8:49am
ANGGOTA bomba mengalirkan air ke dalam tangki lori yang terbalik di Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai. - Foto ihsan pembaca

Lori tangki terbalik belum dapat dialihkan - Bomba

BAGAN SERAI: Lori tangki membawa muatan bahan kimia yang terbalik di Kampung Parit Mentara 3, di sini, awal pagi semalam, belum dapat dialihkan malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, ia berikutan syarikat yang mengendalikan kren tidak mahu mengambil risiko bekerja pada waktu malam.

Katanya, operasi memindahkan cecair kimia itu juga berdepan kesukaran apabila pihak syarikat terbabit dikatakan tidak banyak membantu untuk mengalihkan bahan berkenaan ke tangki atau lori lain.

“Berikutan itu, pihak kami mengambil tindakan mengalirkan air ke dalam tangki lori terbabit bagi melarutkan cecair kimia berkenaan.

“Tindakan ini turut dipersetujui oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang bertujuan mengurangkan tahap nyalaan atau sambaran api pada bahan kimia itu.

“Walaupun kerja mengalihkan lori tangki itu disambung kira-kira jam 9 pagi ini, pihak bomba bersama beberapa agensi berkaitan beroperasi 24 jam bagi memastikan bahan kimia itu benar-benar terlarut dan tiada bahaya lain sehinggalah lori berkenaan selesai dialihkan,” katanya.

Sementara itu, pasukan Sahabat Parlimen daripada Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai melancarkan ‘Ops Burger’ membabitkan sumbangan burger dan minuman, malam tadi, sebagai menghargai kira-kira 60 petugas yang bertungkus lumus dalam operasi mengalihkan lori tangki berkenaan.

Pengarah Strategi Parlimen Bagan Serai, Noor Azman Ghazali, berkata pihaknya sentiasa menghargai jasa petugas yang mengerah tenaga pada waktu malam, terutama dalam kejadian bencana alam dan insiden luar dugaan seperti itu.

“Terdahulu, pasukan bersama Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, hadir di lokasi untuk melihat sendiri kejadian dan turut berkesempatan menemui beberapa penduduk yang terpaksa dipindahkan.

“Malam tadi, pasukan Sahabat Parlimen sekali lagi turun padang dan meraikan petugas dengan makanan ringan berupa burger dan minuman bagi menghargai jasa mereka bertungkus lumus dari siang untuk memastikan keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan tujuh penduduk terpaksa dipindahkan apabila sebuah lori tangki terbalik yang menyebabkan tumpahan muatan bahan kimia mudah terbakar jenis ‘Acetone Thinner’ di Kampung Parit Mentara 3, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, dipetik sebagai berkata siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 24 tahun yang membawa muatan 20,000 liter bahan kimia itu terbabas ke dalam parit lalu terbalik kira-kira jam 5 pagi ketika dalam perjalanan dari Klang ke Pulau Pinang.

Katanya, nahas berlaku apabila pemandu lori itu dipercayai tersalah jalan memasuki laluan di kampung berkenaan.

Berita Harian X