Sabtu, 28 September 2019 | 1:49pm
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya selamatkan seorang nelayan warga Indonesia selepas bot yang dinaikinya mengalami kerosakan, di selatan Tanjung Laboh, Batu Pahat. - Foto Ihsan APMM
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya selamatkan seorang nelayan warga Indonesia selepas bot yang dinaikinya mengalami kerosakan, di selatan Tanjung Laboh, Batu Pahat. - Foto Ihsan APMM

Maritim Malaysia selamatkan nelayan Indonesia hanyut

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan seorang nelayan warga Indonesia yang hanyut ke perairan Malaysia selama empat hari selepas bot dinaikinya rosak, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kapal peronda Maritim Malaysia Johor yang sedang melaksanakan rondaan menemui bot nelayan berkenaan sedang hanyut di 15 batu nautika selatan Tanjung Laboh, Batu Pahat.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid, berkata mangsa yang dikenali sebagai Abdul Rahman, 51, ditemui dalam keadaan lemah berikutan kehabisan makanan dan minuman selama dua hari.

“Difahamkan Badan SAR Nasional Indonesia (BASARNAS) menggerakkan usaha mencari mangsa sejak Isnin lalu selepas mangsa terputus hubungan dengan persatuan nelayan negara berkenaan bagi melaporkan kerosakan botnya.

“Maritim Malaysia dan BASARNAS seterusnya membuat pertemuan di sempadan perairan negara untuk proses penyerahan mangsa dan bot kira-kira jam 9.20 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, Maritim Malaysia selaku peneraju dan agensi yang bertanggungjawab menyelaras operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan negara akan terus komited untuk meningkatkan kerjasama dengan agensi SAR serantau bagi memastikan keselamatan pengguna dan komuniti maritim.

“Maritim Malaysia juga ingin menasihati orang ramai mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut.

“Sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian MERS 999 supaya bantuan dapat diatur gerak segera,” katanya.

Berita Harian X