Isnin, 30 September 2019 | 10:11pm
PUTERI Nurardiana Damia Qaisara Abdullah.
PUTERI Nurardiana Damia Qaisara Abdullah.

Kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang daripada rumah

BINTULU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dilaporkan hilang daripada rumah keluarganya di tepi Sungai Kemena, Kampung Baru, dekat sini, sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata mangsa, Puteri Nurardiana Damia Qaisara Abdullah, dilaporkan hilang oleh ibunya yang juga warga tempatan berusia 28 tahun.

“Maklumat awal berdasarkan laporan, kanak-kanak perempuan itu dilaporkan hilang daripada rumah keluarga terbabit di tepi Sungai Kemena,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan dan orang awam diingatkan usah membuat sebarang spekulasi kerana dikhuatiri mengganggu proses siasatan serta perasaan keluarga mangsa.

Difahamkan, ibu mangsa hanya menyedari kehilangan kanak-kanak itu pada jam 3.30 pagi Sabtu lalu selepas mangsa kali terakhir dilihat berada di dalam rumah sekitar jam 2 pagi hari sama.

Zulkipli berkata, ibu mangsa mengesyaki anaknya itu terjatuh ke Sungai Kemena kerana kanak-kanak berkenaan dikatakan kerap bermain di tepi sungai.

Katanya, mangsa memiliki ketinggian kira-kira 120 sentimeter, berat badan sekitar 18 kilogram, kulit cerah dan rambut lurus paras bahu dengan kali terakhir mangsa dilihat memakai baju-T berwarna ungu serta seluar pendek berwarna merah.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sudahpun dilancar membabitkan pasukan polis dan bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM).

Sehubungan itu, katanya, mana-mana orang awam yang ada maklumat atau saksi kejadian diminta tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu melalui talian 086-331121.

Setakat ini, beliau berkata, kejadian berkenaan diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

Kehilangan mangsa turut dimaklumkan melalui sistem amaran National Urgent Response (NUR) Alert berserta gambar kanak-kanak berkenaan serta nombor talian 019-6369984 (Inspektor Diana) untuk dihubungi jika ada sebarang maklumat.

Berita Harian X