Selasa, 1 Oktober 2019 | 8:27pm
KEADAAN lori tangki membawa muatan asid sulfrik yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 373 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Slim River, hari ini. - Foto ihsan bomba
KEADAAN lori tangki membawa muatan asid sulfrik yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 373 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Slim River, hari ini. - Foto ihsan bomba

Lori terbalik, hampir 25,000 kg asid tumpah

SLIM RIVER: Sebuah lori tangki membawa muatan asid sulfrik terbabas sebelum terbalik di Kilometer 373 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, hari ini.

Akibatnya, muatan bahan kimia jenis UN1830 seberat 24,810 kilogram (kg) yang dibawa lori itu tumpah, namun pemandunya yang berusia 32 tahun hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pasukan itu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 3.53 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bergegas ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba, pasukan itu mendapati kemalangan membabitkan lori tangki jenis isotank membawa muatan ‘sulphuric acid (UN1830) dengan kelikatan 98 peratus, terbalik di bahu jalan.

“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) sudah tiba di lokasi dan sedang melakukan penilaian bahaya di kawasan kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat jam 7 malam tadi, pasukan HAZMAT masih berada di lokasi kejadian melakukan pemantauan dan penilaian terhadap tumpahan bahan kimia itu.

Berita Harian X