Rabu, 2 Oktober 2019 | 4:17pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. - NSTP/Mikail Ong
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. - NSTP/Mikail Ong

Banteras cubaan jadikan Malaysia pusat transit sindiket dadah antarabangsa

KANGAR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berusaha gigih membanteras cubaan menjadikan Malaysia sebagai salah satu pusat transit pengedaran dadah antarabangsa seperti beberapa buah negara lain di rantau Asia Pasifik.

Pengarahnya, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata sindiket dadah sedang meningkatkan kegiatan mereka di rantau ini bagi pasaran dadah jenis kokain yang turut menumpukan kepada pasaran di China.

“Sindiket ini kebiasaannya membabitkan penyeludupan ‘bahan mentah’ dadah yang dipindahkan untuk diproses dan dikeluarkan dalam bentuk pil atau apa saja bentuk supaya dapat dieksport semula ke negara ketiga.

“Usaha JSJN termasuk memberi tumpuan kepada tangkapan ‘aktor’ (tokan) kecil yang menjadi tali penghubung dan bekerja keras bagi tokan besar dadah seluruh negara dalam urus niaga transit bahan terlarang itu,” katanya kepada pemberita sempena program Adventure Challenge yang diadakan di Dataran Rindu Alam di sini, hari ini.

Program itu julung kali diadakan JSJN Bukit Aman menjadikan Perlis sebagai tuan rumah dengan pelbagai pengisian aktiviti seperti cabaran larian dua kilometer (km), cabaran mendaki bukit dan cabaran berbasikal 16 km dengan penyertaan kira-kira 100 pegawai dan anggota JSJN seluruh negeri bertujuan melatih mereka membina kekuatan fizikal dan mental berdepan dengan tokan mahu pun penagih dadah.

Program itu juga sebagai jaringan maklumat antara pegawai dan anggota JSJN seluruh negeri untuk saling bertukar maklumat selain memberi semangat kegembiraan dan motivasi kerja.

Mohd Khalil berkata, JSJN akan meningkatkan kerjasama dengan perhubungan antarabangsa supaya maklumat mengenai sebarang jenayah narkotik tidak ketinggalan.

“Kebelakangan ini rantau Asia menjadi destinasi kokain dan transit bagi dadah dari Amerika Selatan kerana pasaran tradisi di Amerika dan Eropah sudah tepu,” katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X