Rabu, 2 Oktober 2019 | 7:03pm
PUTERI Nurardiana Damia Qaisara Abdullah. - Foto ihsan PDRM
PUTERI Nurardiana Damia Qaisara Abdullah. - Foto ihsan PDRM

SAR kanak-kanak hilang diperluas

BINTULU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu, diperluaskan dalam lingkungan dua kilometer dari rumahnya, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pencarian hari ini tertumpu di sungai berikutan kedudukan rumah mangsa yang terletak di tebing Sungai Kemena di Kampung Baru, di sini.

Beliau berkata, SAR itu membabitkan 15 anggota dengan empat daripadanya anggota bomba, lapan anggota polis dan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Operasi kini tertumpu di kawasan hilir Sungai Kemena dengan tumpuan pencarian sepanjang jarak dua kilometer,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kanak-kanak perempuan terbabit, Puteri Nurardiana Damia Qaisara Abdullah, 6, dilaporkan hilang dari kediaman mereka di Villa Adila, Lorong 3, Kampung Baru, di sini, Sabtu lalu.

Kali terakhir mangsa dilihat masih tidur di dalam rumah pada kira-kira jam 2 pagi Sabtu lalu dan kehilangannya disedari ibunya pada jam 3.30 pagi hari sama.

Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai berikutan kedudukan rumah itu yang berada di tebing sungai.

Berita Harian X