Khamis, 3 Oktober 2019 | 11:29am

6 suspek tembak gajah ditahan reman

TAWAU: Enam suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam gajah Pygmy Borneo di Kalabakan, minggu lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Ferhansyah Farene Mohd Ferdaus, pagi ini selepas dipohon oleh pegawai penyiasat Inspektor Azlinda Buan.

Semua suspek yang berumur antara 48 hingga 68 tahun itu dibawa ke Mahkamah Tawau kira-kira 8.30 pagi tadi sambil dikawal oleh anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Semalam, semua suspek termasuk seorang warga asing, ditahan dalam serbuan di kawasan FELDA Umas, dekat sini.

Dalam serbuan itu, polis merampas selaras pump gun buatan Iver Johnson Single Barrel 30’, senapang angin jenis Raifal buatan sendiri jenama Sharp Innova dan selaras bakakuk atau senapang patah buatan sendiri.

Turut dirampas, sembilan butir peluru hidup jenis Gb Buckshot warna putih, 47 kelongsong peluru jenis Mega Oob warna hijau, tiga butir kelongsong peluru jenis Rimba warna biru dan sebutir kelongsong peluru jenis Gb Buckshot warna hitam.

Bangkai gajah Pygmy yang ditemui di Hulu Sungai Udin, Dumpas, Tawau pada 25 September lalu. - Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah
Bangkai gajah Pygmy yang ditemui di Hulu Sungai Udin, Dumpas, Tawau pada 25 September lalu. - Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

Peter menunjukkan senjata api, kelongsong dan peluru hidup yang dipercayai digunakan suspek. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
Peter menunjukkan senjata api, kelongsong dan peluru hidup yang dipercayai digunakan suspek. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming

Selain itu, kelongsong peluru jenis Winchester Buckshot warna merah (dua), buku lesen memiliki senjata api dan peluru dengan nombor siri 110937 Bil T/L/160, peluru warna hijau pelbagai jenama (23 butir), peluru jenis Rimba (20 butir) dan peluru jenis Rio Royal 00 Buck Lg (empat butir) turut dirampas.

Dua daripada enam suspek terbabit adalah pekerja FELDA Umas, bertanggungjawab mengawasi hidupan liar yang memasuki kawasan ladang.

Motif pembunuhan gajah dipercayai untuk mengambil gading, selain mengikut arahan menjaga kawasan daripada dicerobohi hidupan liar kerana suspek digaji khas bagi menjaga kemasukan haiwan ke kawasan ladang.

Dua gading milik gajah yang mati akibat ditembak di hulu Sungai Udin, Dumpas. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
Dua gading milik gajah yang mati akibat ditembak di hulu Sungai Udin, Dumpas. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming

Polis turut menemui dua gading gajah yang ditanam di kawasan kebun milik Koperasi Felda.

Enam suspek kes pembunuhan kejam gajah Pygmy Borneo di Kalabakan, minggu lalu dibawa ke Mahkamah Tawau untuk mendapatkan perintah tahanan reman. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
Enam suspek kes pembunuhan kejam gajah Pygmy Borneo di Kalabakan, minggu lalu dibawa ke Mahkamah Tawau untuk mendapatkan perintah tahanan reman. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming
Berita Harian X