Ahad, 6 Oktober 2019 | 5:54pm
Antara yang dirawat selepas mengalami muntah dan cirit-birit ketika menghadiri Kongres Maruah Melayu ghadiri Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam, hari ini. - Ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor

149 peserta keracunan makanan

SHAH ALAM: Seramai 149 pelajar yang menghadiri Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, di sini, hari ini, mengalami keracunan makanan selepas mengambil sarapan pagi yang disediakan untuk mereka.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menerima panggilan kecemasan 999 kira-kira jam 11.15 pagi tadi berhubung insiden terbabit.

“HTAR dimaklumkan kemungkinan keracunan makanan membabitkan ramai mangsa di Stadium Melawati Shah Alam pagi tadi.

“Mangsa mengalami simptom muntah dan cirit-birit selepas mengambil makanan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Khalid berkata, sebagai tindakan awal, dua pasukan ambulans bersama doktor serta sokongan tiga ambulans tambahan dari HTAR, Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS) dan St John Ambulance Malaysia (SJAM) ke lokasi.

“Pasukan inspektorat Kesihatan Awam juga diaktifkan. Saringan awal mendapati ada seramai 27 pesakit kes separa stabil dan 91 kes stabil, namun tiada pesakit tag merah iaitu kes tidak stabil.

“Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Shah Alam diletakkan dalam status berjaga-jaga pada jam 11.50 pagi untuk menerima mangsa-mangsa kritikal jika ada dan separa kritikal yang dikenal pasti oleh pasukan kecemasan di lokasi.

“Pesakit stabil (Hijau) akan diberi rawatan mudah di lokasi dan dilepaskan pulang. Sementara kes-kes merah atau kuning akan dibawa ke hospital dengan ambulans,” katanya.

Ketika ditanya makanan yang menjadi punca kepada kes keracunan itu katanya, Dr Khalid berkata, pihaknya sedang dalam penyelarasan mendapatkan maklumat termasuk data pesakit.

Sementara itu, sumber berkata, pesakit yang keracunan makanan dipercayai makan sarapan pagi.

“Mereka terdiri daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Pelajar terbabit dipercayai memakan nasi lemak dalam bungkusan plastik, ada yang makan di dalam bas dan ada juga yang makan di stadium pagi tadi,” katanya.

Berita Harian X