Isnin, 7 Oktober 2019 | 1:29pm
Dr Khalid berkata siasatan awal mendapati kes pertama mengalami gejala keracunan makanan pada jam 10 pagi manakala kes terakhir sehingga kini pada jam 3 petang semalam. - Ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor

197 alami keracunan makanan, 21 masih di wad

SHAH ALAM: Jumlah mangsa keracunan makanan selepas mengambil hidangan yang dipercayai disediakan pihak penganjur Kongres Maruah Melayu semalam, meningkat kepada 197 sehingga jam 9 malam tadi.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim, berkata semua mangsa yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menyertai program di Stadium Malawati, mengalami sakit perut dan muntah.

Beliau berkata, semua peserta mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Serdang dan empat kes di Pusat Perubatan KPJ Selangor.


PENGARAH Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim

“Seramai 20 peserta dimasukkan dalam wad di HTAR dan seorang peserta di Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

“Peserta lain dibenarkan pulang dan semua berada dalam keadaan stabil. Tiada kematian dilaporkan,” katanya.

Dr Khalid berkata siasatan awal mendapati kes pertama mengalami gejala keracunan makanan pada jam 10 pagi manakala kes terakhir sehingga kini pada jam 3 petang semalam.

“Makanan disyaki adalah nasi lemak bungkus yang dibekalkan kepada peserta sebelum menaiki bas ke stadium pada jam 7 pagi,” katanya.

Justeru, kata beliau, Jabatan Kesihatan Selangor mendapatkan maklumat mengenai pembekal makanan daripada penganjur terbabit, yang menyediakan makanan kepada peserta.

Katanya, lima sampel makanan iaitu nasi lemak yang ada di tempat kejadian diambil untuk dianalisis oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Sungai Buloh, selain sampel klinikal kes oleh pihak hospital.

“Jabatan Kesihatan Selangor ingin menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan tiga langkah mengenali makanan rosak iaitu ‘Lihat, Hidu, Rasa’ untuk mengelak keracunan makanan.

“Kepada penganjur program atau majlis, dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan Pejabat Kesihatan Daerah bagi nasihat dan melakukan pemeriksaan kepada premis yang menyediakan makanan,” katanya.

Kongres Maruah Melayu semalam dihadiri kira-kira 20,000 orang terdiri daripada pelajar IPT awam iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta orang ramai.

Berita Harian X