Isnin, 7 Oktober 2019 | 4:22pm
Antara yang ditahan selepas disyaki membuli pengguna jalan raya dalam kejadian di Jalan Papar-Kota Kinabalu, Bukit Melinsung, kelmarin. - Ihsan Polis Papar

Samseng jalan raya kena cekup

PAPAR: Empat lelaki, termasuk seorang remaja berusia 14 tahun ditahan selepas disyaki membuli pengguna jalan raya dalam kejadian di Jalan Papar-Kota Kinabalu, Bukit Melinsung kelmarin.

Dalam kejadian 9.15 malam itu, empat individu berkenaan yang menaiki sebuah kereta Perodua Kenari dikatakan berselisih dengan sebuah lagi kenderaan dipandu lelaki berusia 20-an.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit, berkata akibat tidak berpuas hati, kumpulan suspek kemudiannya mengekori lelaki itu sebelum memintas kenderaannya secara tiba-tiba.

Katanya, mangsa terpaksa memberhentikan kenderaannya di tengah jalan untuk mengelak dari terlanggar kenderaan dinaiki kumpulan suspek.

“Kesemua suspek kemudiannya turun dari kereta dan terus bertindak memecahkan cermin hadapan kenderaan mangsa dipercayai menggunakan alat pembuka tayar.

“Mangsa yang ketakutan terus meninggalkan tempat kejadian sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bartholomew berkata, bertindak atas maklumat siasatan, empat suspek terbabit berjaya ditahan kira-kira sejam selepas kejadian oleh anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV).

Katanya, semua suspek yang ditahan adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 14 hingga 26 tahun.

“Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan khianat kepada mangsa,” katanya.

Berita Harian X